Dunia hari ini merupakan satu dunia tanpa sempadan yang tidak pernah digambarkan oleh datuk nenek moyang kita pada masa dahulu. Ini adalah kerana perkembangan teknologi berlaku begitu pantas dan terdapat banyak perkara yang dahulunya tidak logik sudah dapat dilakukan pada masa kini. Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi merupakan satu kejayaan dan banyak menyenangkan tugas kita sebagai penggunannya. Hampir semua kerja dilakukan dengan menggunakan teknologi pada masa kini. Bidang pendidikan juga tidak terkecuali menerima tempias kemajuan yang melanda. Walaupun begitu, pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi turut mempunyai kesan dan akibat sama ada kesan baik atau kesan buruk kepada penggunanya dan dalam bidang pendidikan, kesan dan akibat ini akan dapat dilihat pada guru dan pelajar.
Kesan baik yang pertama yang dapat diperolehi oleh guru hasil daripada perkembangan teknolgi maklumat dan komunikasi adalah guru dapat meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada dari masa ke masa. Oleh kerana penggunaan teknolgi untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan tidak terhad kepada individu tertentu sahaja, maka lahirlah pelajar-pelajar yang mempunyai pengetahuan yang banyak dalam perkara-perkara yang tertentu. Kesannya, pelajar-pelajar akan banyak bertanya kepada guru untuk mengetahui sesuatu perkara dengan lebih jelas dan hal ini menyebabkan guru yang bertindak sebagai seorang pendidik terpaksa mendapatkan pengetahuan yang lebih bagi menjawab persoalan yang bermain di minda pelajar. Dengan adanya perkembangan teknologi ini, guru tidak lagi perlu memeningkan kepala mereka untuk mencari sumber rujukan yang baik bagi membuat penjelasan kepada soalan-soalan yang yang dikemukan kerana terdapat sejumlah besar sumber maklumat yang boleh didapati di laman-laman sesawang di internet.
Selain itu, guru-guru juga dapat meningkatkan keakraban hubungan antara guru-guru, pihak pentadbiran dan pelajar-pelajar. Jika dilihat pada masa kini, terdapat banyak laman sosial yang boleh digunapakai oleh semua pihak bagi berhubung antara satu dengan lain. Antara laman sosial yang terkenal di Malaysia pada hari ini adalah “Facebook”, “Twitter” dan “Yahoo Messenger”. Walaupun tujuan asal pembukaan laman-laman sosial ini untuk mencari kenalan baru dan mencari semula kenalan-kenalan lama yang telah terputus hubungan, namun guru-guru boleh mengaplikasikan kemudahan ini bagi merapatkan lagi hubungan antara sesama mereka. Apabila perhubungan antara guru dengan mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan ini baik, maka segala kerja akan dapat dilakukan secara muafakat dan seterusnya meningkatkan kualiti kerja guru.
Tambahan lagi, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi juga telah dapat menyenangkan lagi kerja-kerja pengkeranian yang sudah menjadi lumrah bagi seseorang guru. Antara kerja-kerja pengkeranian yang boleh dimudahkan dengan adanya kemudahan teknolgi adalah seperti “Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)”, pengisian rekod kehadiran pelajar dan pembelian dan perekodan stok seperti alatan sukan yang mana boleh dilakukan secara online pada masa kini. Kelebihan penggunaan sistem online ini menyebabkan guru-guru tidak lagi perlu bersusah payah untuk melakukan tugas-tugas ini secara manual seperti mengira dan menganalisa keputusan peperiksaan pelajar, menulis analisa rekod kehairan pelajar dalam buku rekod atau pergi ke kedai bagi menempah barang-barang yang perlu dibeli. Dengan adanya kemajuan ini, masa akan dapat dijimatkan dan kos yang ditanggung oleh guru seperti kos pengangkutan dan bil telefon dapat dan dikurangkan.
Seterusnya, perkembangan teknologi dan maklumat juga memberi kesan yang positif kepada pelajar-pelajar dengan syarat penggunaan kemajuan ini adalah secara betul dan terkawal. Selari dengan perkembangan teknolgi yang berlaku, tugas pelajar juga semakin mencabar. Dengan adanya kemudahan teknolgi dan maklumat, pelajar-pelajar akan dapat melakukan tugasan yang diberikan oleh guru dengan lebih senang dan berkualiti. Sebagai contoh, jika sesorang pelajar dikehendaki membuat satu folio untuk mata pelajaran Sains, dia akan dapat mencari maklumat dengan mudahnya di laman-laman sesawang yang ada diinternet. Sumber rujukan yang banyak juga membolehkan dia menghasilkan satu hasil kerja yang mempunyai maklumat yang tepat dan terkini. Berbeza dengan masa dulu di mana perkembangan teknologi tidak begitu membangun, pelajar-pelajar hanya mempunyai satu sahaja sumber rujukan iaitu perpustakaan dan ini menyebabkan mereka tertekan untuk mendapatkan sumber maklumat bagi menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka. Bilangan sumber rujukan yang sedikit juga menyebabkan maklumat yang diperolehi tidak meluas dan mungkin juga kurang berkualiti.
Dengan adanya perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ini juga, guru dan pelajar boleh berinteraksi dengan lebih mudah demi mencapai satu tujuan yang sama iaitu memperoleh kualiti penerimaan ilmu yang berkualiti. Dengan adanya kemudahan teknologi ini, guru boleh menghantar maklumat atau contoh-contoh soalan kepada pelajar-pelajarnya secara terus dari rumah. Jadi pelajar-pelajar boleh membuat latihan yang diberikan oleh guru di rumah dan boleh terus bertanya kepada guru mereka jika terdapat kesulitan tentang tugasan yang diberikan itu. Berbeza dengan masa dulu, guru hanya boleh memberikan tugasan atau soalan latihan kepada pelajarnya ketika di dalam kelas dan ia tidak dapat dilakukan pada masa cuti sekolah. Pada masa dulu juga, pelajar-pelajar juga sering menghadapi masalah dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan akibat daripada malu untuk berjumpa secara bersemuka dengan guru dan ianya dapat diatasi dengan adanya perhubungan secara online ini.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) harian pula, guru boleh menggunakan video-video yang terdapat di laman sesawang bagi menjadikan suasana P&P lebih menarik dan memudahkan lagi pemahaman pelajar. Denagn adanya video-video di laman sesawang yang terlibat, guru tidak lagi perlu bersusah-payah merakam sesuatu video sendiri tetapi dengan mudahnya dapat memuat turun perisian video yang dikehendaki. Selain kemudahan untuk mendapatkan video, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah dapat menjimatkan masa dan wang guru. Dengan adanya kemudahan komputer, LCD dan pemancar OHP, guru tidak lagi perlu bersusah payah menulis nota ringkas berkenaan apa yang ingin di ajar di atas kertas mahjung atau kad manila tetapi hanya perlu menggunakan perisian computer yang serba mudah bagi melakukan tugasan itu. Perkara ini membolehkan guru menjimatkan masa, tenaga dan kos yang ditanggung oleh guru dalam persiapan mengajar pelajar-pelajar. Penggunaan teknologi ini juga dapat menghasilkan satu hasil kerja yang lebih menarik dengan penggunaan animasi dan warna-warna yang pelbagai berbanding dengan kertas mahjung.
Dalam pada itu, menurut Grant (1999), perkembangan profesionalisme dalam bidang teknologi pendidikan dapat membantu guru menjadi lebih profesional, produktif dan memberi mereka kepercayaan bahawa teknologi akan memberi faedah dalam pengajaran. Pada masa kini, terdapat banyak konsep pendidikan yang berasaskan elektronik seperti “virtual learning”, “on-line learning” dan “e-learning” diperkenalkan untuk digunakan oleh pelajar. Kewujudan konsep pendidikan baru ini menjadikan pembelajaran lebih terbuka dan menarik berbanding penggunaan kertas dan pensel. Selain itu, penggunaan teknologi elektronik seperti “Internet-based learning” dan “Web-based learning” juga turut sama menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan meningkatkan lagi kefahaman pelajar.
Walaupun terdapat banyak manfaat dan kesan positif hasil daripada perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, kesan dan akibat buruknya turut hadir bersama. Salah satu keburukan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi adalah pada kos dan keperluan untuk mebolehkan ia berfungsi. Dari aspek kos, sesorang guru yang hendak mendapatkan kemudahan teknologi ini perlu mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi membeli barang-barang seperti laptop, LCD, pembesar suara dan membayar bil internet. Ini menyebabkan beban yang dipikul oleh guru bertambah. Selain itu, bagi membolehkan alatan-alatan teknologi ini berfungsi, bekalan elektrik adalah sangat diperlukan. Jika bekalan elektrik terputus, maka alat-alat ini tidak akan dapat digunakan dan ini akan menjejaskan usaha yang telah dilakukan untuk mengajar terutamanya jika tiada plan B dirangka oleh guru tersebut. .
Tambahan lagi, jika kemudahan dan kemajuan ini tidak digunakan dengan baik atau dengan cara yang betul, maka kesan buruk akan wujud tidak kira sama ada kepada guru mahupun kepada pelajar. Sebagai contoh, jika guru atau pelajar bertindak melayari laman sesawang yang tidak sesuai seperti laman sesawang lucah atau ganas, mereka mungkin akan terjebak dalam melakukan tingkah laku yang kurang sihat seperti rogol, merokok, bertumbuk, membuli dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dicegah, ianya akan bercambah menjadi lebih teruk iaitu berlakunya jenayah-jenayah berat seperti membunuh, dadah dan sesbagainya.
Selain itu, tiada kawalan tentang masa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi juga boleh menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran mereka. Tanpa kawalan daripada ibu bapa boleh menyebabkan pelajar hanyut dalam dunia siber mereka seperti leka bersembang di laman-laman sosial dan membuang masa bermain permainan-permainan yang melekakan di laman sesawang. Jika perkara ini tidak diambil tindakan segera, kehidupan pelajar akan berubah ke arah yang negatif dan seterusnya menyebabkan mereka gagal untuk menjadi seorang pelajar yang baik.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi membawa kedua-dua kesan baik dan akibat yang tidak baik. Pada asasnya, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi sebenarnya mempunyai satu tujuan yang baik iaitu menyenangkan manusia. Terpulanglah kepada penggunanya untuk cuba mendapatkan kelebihan atau menghancurkan diri sendiri hasil kemajuan yang telah dicapai oleh manusia. pada asasnya, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi sebenarnya mempunyai satu tujuan yang baik iaitu menyenangkan manusia.
Posted by


